Tujuan kami bertanyakan soalan tersebut adalah untuk membantu anda
(lelaki khususnya) dalam mengetahui apakah perkara yang diinginkan oleh
perempuan dari seorang lelaki. Setelah dikumpul dan disaring komen-komen
yang diberikan oleh peminat-peminat Tentang Cinta kami yang tersayang
(sayang la sangat) berikut merupakan 18 perkara yang diinginkan oleh perempuan yang telah kami susun mengikut abjad.
1. Beramal soleh
Perempuan mahukan seorang lelaki yang beramal soleh. Mereka mahukan
lelaki yang tahu menjaga Rukun Islam, menunaikan solat lima waktu sehari
semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat, dan sentiasa
menjaga batas-batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Mereka
juga mahukan lelaki tersebut tidak melakukan perkara-perkara yang
diharamkan dalam Islam.
2. Bersikap adil
Yang kedua, perempuan mahukan lelaki yang bersikap adil. Ianya adalah
seperti bersikap adil dengan anak-anak, ibu bapa, ibu dan bapa mertua,
adik beradik dan rakan-rakan. Sesetengah lelaki hanya mementingkan diri
mereka sahaja dan tidak menghiraukan pasangan mereka. Mereka lebih
mendahulukan keluarga mereka sendiri tanpa mengambil kisah ahli keluarga
pasangan mereka. Perempuan tidak suka lelaki yang bersikap begini.
3. Bertanggung jawab
Lelaki perlu mempunyai sikap yang bertanggung jawab. Tidak kisah samada
lelaki itu sudah berkahwin atau pun tidak, dia perlu bertanggung jawab
atas setiap apa yang telah dilakukan. Jika dia ada buat salah, dia perlu
bertanggung jawab atas kesalahan yang dilakukan itu. Jika dia ada anak,
dia perlu bertanggung jawab memberikan nafkah kepada anak-anaknya.
Janganlah berlepas tangan dan membiarkan pasangan anda begitu sahaja.
4. Bertolak ansur
Perempuan juga inginkan lelaki yang tahu bertolak ansur. Ada sesetengah
lelaki yang tidak ambil peduli langsung perasaan pasangan mereka. Apa
yang mereka tahu, perempuan perlu ikut cakap suami. Jangan cakap banyak.
Tetapi itulah kesilapan yang sering berlaku. Mereka tidak mahu bertolak
ansur dan mendengar pendapat dan cadangan dari perempuan.
5. Ikhlas
Seorang lelaki perlulah iklas dalam perhubungan mereka. Janganlah mereka
rasa diri mereka terpaksa untuk menyayangi seseorang. Untuk memastikan
sesebuah perhubungan itu kekal, seseorang lelaki itu haruslah mempunyai
niat hati yang ikhlas untuk berkawan, berkenalan, dan berkahwin dengan
perempuan yang ingin dikahwini.
6. Ingin dimanja
Perempuan mahukan lelaki yang pandai memanjakan diri mereka. Anda pun
tahu bahawa perempuan ini memang mempunyai perwatakan yang manja. Oleh
itu mereka sangat suka jika anda dapat memanjakan diri mereka dengan
cara anda tersendiri.
7. Kasih sayang
Apa maknanya cinta tanpa adanya kasih dan sayang. Perempuan akan
merasakan dirinya berada dalam hati seorang lelaki apabila lelaki dapat
memberikan kasih sayang dan menyayangi mereka dengan sepenuh hati.
8. Kejujuran
Jujurlah dalam berpasangan. Ianya adalah sangat penting dan sangat
dititik beratkan oleh perempuan. Hati perempuan akan remuk apabila
lelaki yang mereka sayangi mempunyai perempuan lain di belakang mereka.
9. Kepercayaan
Perempuan inginkan kepercayaan dari seorang lelaki. Mereka tidak mahu
lelaki berprasangka buruk dan fikir yang bukan-bukan tentang dirinya.
Berikan kepercayaan kepada pasangan anda agar si dia dapat memberikan
kepercayaan pula kepada anda.
10. Kesetiaan
Apa gunanya jujur kalau tidak setia. Anda perlu setia dengan pasangan
anda. Tak usahlah mencari yang lain melainkan anda melepaskan dulu
pasangan anda yang sedia ada. Lebih baik menjaga hati mereka dengan baik
daripada menyakitinya dengan kecurangan anda.
11. Lemah lembut
Perempuan merupakan insan yang penuh lemah lembut. Mereka tidak suka
apabila lelaki mengasari diri mereka. Apabila anda bercakap, bercakaplah
dengan lemah lembut dan romantik. Kami percaya si dia pasti terpikat
dengan kelembutan layanan anda pada dirinya.
12. Memahami
Sering berlaku pergaduhan disebabkan perselisihan faham. Perempuan
maksudkan yang lain, tetapi anda menganggap yang lain. Anda perlu faham
dengan jelas apakah yang mereka inginkan dari anda. Apabila mereka
merungut, tidak bermaksud si dia menyalahkan diri anda. Tetapi si dia
ingankan anda mendengar luahan hatinya.
13. Memimpin
Seorang lelaki perlu pandai memimpin. Setelah berkeluarga, lelakilah
yang akan memimpin keluarga tersebut. Jika anda tidak pandai memimpin
pasangan anda, siapa lagi yang dapat si dia berikan kepercayaan untuk
memimpinnya ke syurga Allah?
14. Mempunyai pekerjaan
Bukan bermaksud perempuan adalah insan yang materialistik. Tetapi mereka
inginkan kepastian dalam hidup mereka. Mereka mahukan lelaki yang
mempunyai pekerjaan supaya mereka dapat bergantung harap dan mempunyai
makan dan minum yang mencukupi seperti ketika si dia dijaga oleh bapanya
sebelum diijab kabulkan dengan anda.
15. Perhatian
Yang seterusnya, perempuan inginkan perhatian dari anda. Apabila mereka
mula bercakap, mereka inginkan anda mendengar apa yang mereka katakan.
Mereka mahukan anda memberikan perhatian sepenuhnya kerana mereka hanya
dapat meluahkan perasaan dan terlepas dari kesedihan apabila anda dapat
mendengar luahan hati mereka dengan teliti.
16. Perlindungan
Perempuan adalah insan yang lemah. Mereka tidak kuat dan mereka
memerlukan pertolongan dan perlindungan dari anda. Sebagai seorang
lelaki, anda haruslah menjaga dan melindungi pasangan anda daripada
sebarang bahaya, ancaman dan memberikan tempat tinggal untuk si dia
berteduh dan berlindung.
17. Rajin
Apabila sudah berkahwin nanti, jangan hanya membiarkan isteri anda
melakukan segala kerja rumah. Jadilah seorang suami yang rajin dengan
bersama-sama membantu dan menolong si dia dalam mengemas rumah, menyiram
pokok bunga, basuh pinggan mangkuk, dan sebagainya. Mereka sangat suka
apabila mempunyai seorang lelaki yang rajin membantu mereka membuat
kerja-kerja harian di rumah.
18. Romantik
Dan akhir sekali, perempuan inginkan lelaki yang romantik. Mereka
sukakan lelaki yang pandai mengambil hati mereka seperti membuat kejutan
pada hari ulang tahun perkahwinan, ulang tahun kelahiran atau pada
hari-hari yang anda rasakan perlu. Dan perempuan sukakan hadiah. Apa
kata anda berikan si dia hadiah sempena ulang tahun kelahiran si dia
nanti.
Jadi…itulah dia 18 perkara yang diinginkan oleh perempuan dari
lelaki. Adakah anda mempunyai kelapan-lapan belas perkara ini? Jika ada,
bagus dan tahniah kami ucapkan.
Tetapi jika tidak, cuba perbaiki diri anda dan berikan apa yang
mereka mahukan dari anda. Mudah-mudahan kebaikan dan usaha yang anda
lakukan kepada dirinya akan dapat mememlihara perhubungan anda berdua.
Walau apapun, kami ingin mengucapkan semoga anda berdua bahagia selama-lamanya… Amin…
Tidak ada komentar:
Posting Komentar